All posts tagged tazkirah

Melupakan Kesilapan Lalu

 

Rasulullah s.a.w bersabda:

Siapa yang memberi kemaafan (ke atas kesalahan orang), padahal ia mampu bertindak balas(di atas perbuatan tersebut), Allah akan memaafkannya, pada hari yang susah” (Riwayat Thabrani)

 

Di Wangsa Maju ketika ini, hujan agak kerap mengunjungi penghuni kota. Bermula pada jam 6 petang, dia akan keluar dan bersilaturahim tanpa mengenal erti jemu dan lelah. Aku yang malang, kerana kerap menjadi mangsanya. Biasalah, menjadi pembonceng motosikal yang mengharungi perjalanan 5 minit untuk ke pejabat, maka aku pasrah untuk bertemu dengan hujan dan membasahkan pakaian kemeja segak aku. Nasib baik rumah dekat. Bagaimana agaknya dengan teman yang tinggal di Bangi dan Cheras, selamatkah mengharungi hujan yang lebat ini?

Oh, dan hujan di kotaraya amat berbeza dengan hujan di kampung halaman di Pekan. Bagai langit dan bumi. Di sini, hujannya berasid, mencemarkan, dan tidak sihat. Boleh jatuh sakit jika tidak dibersihkan. Di Pekan, aku boleh seronok mandi di bawah tarian hujan dan berjoget bersama ayam itik. Airnya segar, udaranya nyaman, dan suasanaya bersih. Jadi warga kota, perlu berhati hati dan sentiasa bersihkan diri.

Cukup tentang hujan.

Setiap hari, atau mungkin seminggu sekali, kita akan menghadapi konfrontasi. Ada sahaja pertelingkahan, pergaduhan, percakaran, dan kesalahfahaman berlaku sama ada antara kita dengan rakan atau dengan lawan. Geram juga, apabila kata-kata kita disalaherti. Atau maksud disalahfahami. Atau mungkin kejujuran kita tidak dihargai. Apa yang kita cakap dan sebut, semuanya dibangkang dan dipatahkan lantas hati yang cedera tidak langsung dijaga.

Aku baran. Aku tahu fakta tu. Tapi aku peramah, humor, dan suka bergaul dengan manusia.

Pernah ada satu ketika, aku seronok bermain futsal bersama teman. Kami bersenda gurau, saling mencabar, dan berusaha bermain dengan suasana mesra dan aman. Secara semulajadinya, aku sangat hargai dan nikmati detik detik dapat bersama manusia. Tapi fokus dan perasaan aku sedikit terganggu, apabila ada yang mempersenda dan meremehkan kemampuan orang lain.

“Kaki tempang. Tak yah main la woi.”
“Kenapa jadi striker? Rembat bola ke laut.”
“Pandai sepak bola tak? Keluar je la der”

Aku sensitif dengan sifat negatif dan kata kata yang merendahkan kemampuan orang lain. Apabila aku dengar sahaja perkataan perkataan macam ini keluar, aku rasa tidak selesa. Hati rasa panas, jiwa meluap luap. Aku kenal mereka mereka ini. Aku tahu, mereka sedang bergurau senda dan amat seronok melihat orang lain. Tapi, bagi aku, bergurau itu ada batasnya. Jangan disentuh yang sensitif. Yang dihiris hati yang sedia nipis.

Aku tegur mereka.

“Dah dah la tu nak ejek pun.”

“Lantak lah. Bergurau je. Relax sudah.”

Bagai mencurah air ke daun keladi, kata kata yang dijirus meluncur laju ke dataran tanpa bersisa walau sedikit di daunan. Mereka tetap merendahkan, tetap memperkecilkan, tetap menjatuhkan maruah manusia. Dan kemudian mereka memperkecilkan aku pula.

Kepala aku panas, hati aku panas.

Aku tidak boleh lama bermain, kerana aku boleh agak apa yang bakal terjadi jika aku masih di situ. Aku mengambil langkah pulang dan berlalu pergi dari situ. Apabila kita sudah kenal diri, kita tahu sikap dan peribadi sendiri, maka kita boleh mengambil jalan penyelesaian terbaik. Jika aku tidak tahu, macam macam perkara boleh berlaku. Kan?

Itu antara pergaduhan kecil yang aku masih ingat, yang masih membekas di hati aku. Yang salahnya, aku masih sukar melupakan perkara dan peristiwa itu. Aku sentiasa terkenang, dan membuat aku jadi agak sedih kerana tidak mampu mengawal diri aku sendiri untuk membantu mereka. Mungkin aku patut memberikan peringatan yang lebih tegas dan jelas, supaya mereka menghentikan perbuatan itu. Atau aku patut berusaha untuk memberitahu mereka bahawa perbuatan mereka itu salah dengan lebih kerap dan tersusun. Dan salah juga, kerana aku terasa sangat marah dan baran pada ketika itu sehingga wajah menjadi merah. Sekali lagi, aku sangat sensitif dengan perbuatan atau kata kata memperkecilkan kebolehan diri aku.

Itu kesalahan aku. Banyak juga kesalahan sendiri jika nak dikorek dan dimuhasabah. Jangan diceritakan kesalahan kita untuk dibangga, tetapi cerita semua manusia lain mendapat manfaat dan belajar dari kesilapan.

Bila fikir semula, aku tidak mendapat apa apa dengan menyimpan perasaan marah terhadap mereka. Aku dah maafkan, tapi sangat sukar untuk aku melupakan apa yang mereka pernah lakukan. Membekas di hati aku.

Bila baca hadis di atas tu, dan hadis hadis sahih lain, jiwa dan hati rasa lebih lembut. Manusia sentiasa berbuat silap. Apabila aku membuat kesalahan, boleh sahaja aku memaafkan kesilapan diri aku. Tetapi, apabila ada orang lain berbuat kesalahan, terus tertutup ruang kemaafan untuk mereka. Kejam kan? Kita bersikap baik dengan diri sendiri, tetapi tidak dengan orang lain.

Maka, cara paling mudah untuk menyelesaikan apa apa masalah, adalah dengan memaafkan dan melupakan kesilapan lalu. Pesanan untuk diri sendiri. Aku akan cuba untuk menjadi manusia yang memaafkan dan melupakan kesilapan orang terhadap aku. Moga orang lain pun, memaafkan aku andai aku ada melakukan kesilapan pada diri mereka.

 

Maafkan orang lain. :)

Maafkan orang lain. 🙂