Membina Keyakinan Diri

Self-Confidence[1]

 

 

Assalamualaikum wbt

 

Hari ini kita akan berborak tentang keyakinan diri. Topik yang membosankan dan mungkin yang tengah membaca sekarang pun dah mula nak menguap. Ehem, tahan dulu ya wahai pembaca!

Kebiasaan aku, untuk memerhati dan berfikir tentang seseorang. Jika berkesempatan dan tidak mengganggu, aku suka untuk ambil tahu tentang diri kawan aku sedalam mungkin. Aku nak tahu apa kegemarannya, kesukaannya, hobinya, perkara dibenci, kenangan manis/buruk, ketakutan, dan motivasi apabila melakukan sesuatu. Ini antara kemahiran yang aku berjaya kembangkan melalui pemahaman dan pembacaan berkenaan watak introvert. Sebabnya, introvert lebih suka untuk mengambil tahu sesuatu atau berborak tentang topik yang bermanfaat dan memberikan pengetahuan yang mendalam.

Okay.

Aku akan berusaha, supaya lawan berborak itu menceritakan lebih banyak tentang dirinya. Tanpa disedari, dia akan luahkan cerita cerita yang lahir dari hati, yang dia sendiri tidak pernah ceritakan kepada orang lain dan tidak mahu ceritakan. (sebagai pendengar dan penyimpan rahsia yang baik, semuanya aku jaga)

Dari situ, aku dapat korek dan tahu permasalahan yang dia sedang hadapi. Nampak dari luar penuh keyakinan atau senyuman menggaris hingga ke telinga, tetapi sebenarnya menyimpan sejuta cerita duka lara yang kita tidak sangka. Nampak seperti bengis dan garang, sebenarnya rasa takut untuk mempunyai teman dan rasa rendah diri.

Aku percaya, sikap buruk dan perangai yang teruk adalah pohonan kepada akar permasalahan yang bersarang di hati. Yang kita lihat dan tengok pada akhlak manusia itu, berpunca dari jiwa yang sudah parah. Sebab itu, kita kena berusaha untuk memahami sebelum menghukumi. Berapa ramai yang aku jumpa, yang pendiam dan senyap bukan kerana sombong atau kerek, tetapi sebenarnya adalah masalah dalam diri yang orang lain tidak faham. Ada yang pemarah dan bengis, bukan kerana baran atau berlagak, tetapi disebabkan krisis hati yang tidak pernah diubati.

Bila tahu dan dengar, aku rasa empati. Aku tahu, bukan mudah untuk berubah dan mengikis penyakit emosi yang bersarang kian lama. Sebagaimana orang lain, aku juga banyak penyakit hati. Terus terang, aku baran dan kurang sifat sabar. Tapi, dengan latihan dan ubat yang bersesuaian, aku berjaya kurangkan. Allah memberikan penawar untuk segala penyakit, kecuali mati. Soalannya, kita dah cari ke ubat untuk kesakitan jiwa dan roh tu?

Antara sakit dalaman yang aku fikir, agak kritikal dan banyak berlaku dalam kalangan sahabat terdekat aku adalah, masalah keyakinan diri.

 

Punca

 

Secara general, antara sebab yang aku tahu menyebabkan seseorang merasa rendah diri yang kritikal;

 

  1. Merasa kurang dibandingkan dengan rakan-rakan

Selalu bandingkan diri dengan orang lain dari sudut kebendaan dan keduniaan. Orang lain lagi kaya, orang lain lagi cantik, orang lain lagi handsome, orang lain lagi jelita, orang lain kurus, bla bla bla… Tak habis la

Beb, ada pepatah yang aku lupa asal mana tapi maksud dia sangat bagus.

Bandingkan keadaan duniamu dengan orang yang lagi susah darimu, nescaya akan timbul syukur.
Bandingkan keadaan akhiratmu dengan orang yang lagi banyak amal darimu, nescaya akan timbul keinsafan.

 

2.  Aib/Masalah kesihatan

Ada kawan aku, yang ada masalah air kecing keluar tidak dapat dikawal. Disebabkan masalah ni, dia jadi dingin dan kurang bergaul dengan orang lain. Sebabnya, dia rasa malu dan masalah tu menyebabkan dia lebih suka menyendiri.

Bagi aku, masalah ni perlu dirujuk segera ke pihak yang pakar dan berusaha untuk mengubatinya. Hikmahnya, kita menjadi orang yang sentiasa berusaha menjaga kebersihan dan lebih menghargai kesihatan apabila pulih kelak. Berapa ramai yang take for granted je kesihatan yang dirasai sekarang.

 

3. Masalah keluarga

ha, yang ni paling ramai kawan aku share. Ada yang mak ayah bergaduh siang malam, ada yang bercerai, ada yang ayah pemabuk, ada yang ibu melacur, ada yang terlibat dengan PEKIDA, ada yang main kayu tiga, dan bla bla bla. Memang sebab tidak akan habis.

Untuk yang ini, aku serius cakap, memang ujian besar untuk orang berjiwa besar. Latihan yang Allah berikan hanya kepada hamba yang Dia rasa mampu hadapinya. Kita tidak mampu ubah takdir untuk menjadi anak orang lain. Ini adalah susunan Allah. Terima hakikat, mereka tetap ibu bapa kita. Doakan kebaikan mereka. Dakwah dan ajak mereka ke arah kebaikan dengan cara paling lembut. Jika kita sebagai anak tidak lakukan, siapa lagi yang mampu ibu bapa kita harapkan untuk bantu mereka di akhirat kelak?

 

Orait. Sekarang, aku nak bagi sedikit petua untuk sentiasa konfiden dan hensem macam aku.

Ramai cakap, aku sentiasa positif dan nampak yakin. Dengan senyuman yang mengancam dan mata sepet dilindungi cermin mata separuh petak, boleh jatuh terpukau kalau orang tidak kuat iman ehem.

Maksud aku, kebiasaannya aku bersikap positif dan yakin. Aku tidak inferior dengan orang lain, sehebat mana pun. Aku hormat dan respek, dalam masa yang sama aku tahu, setiap manusia ada logam atau kelebihan masing masing. Tidak berguna jika nak rasa insecure bak kata gegadis, atau tercabar berlebihan. Tenang sahaja, senyum, dan sinarkan kekuatan dalaman. Apa yang terpancar di riak muka kita, berpunca dari kekuatan dalaman. Kalau dalam hati bermasalah, memang dari riak muka tu orang lain boleh tahu.

Tips ini aku ekstrak dari buku The Think and Grow Rich Action Pack, yang sesuai dibaca untuk orang yang nak jalani kehidupan yang bahagia macam aku haha :p

 

5 Langkah Pasti untuk Mencapai Keyakinan Diri

 

1.  Cakap kepada diri kita, aku tahu aku ada kekuatan dan keupayaan untuk mencapai tujuan kehidupan aku. Maka, aku mahukan diri aku untuk sentiasa konsisten, dan melakukan tindakan berterusan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Sekarang juga, aku berjanji akan bertindak!

     2.  Aku yakin, idea yang menguasai fikiran sekarang, akan menguasai diri ini dan akan melahirkan hasilnya di dunia nyata kelak. Oleh itu, aku akan peruntukkan 30 minit setiap hari untuk menfokuskan diri dan memikirkan siapa yang aku mahu jadi pada masa depan, dan apa yang aku mahu. Ini akan membuatkan otak aku jelas dengan gambaran yang mahukan.

3.  Otak kita mempunyai sistem auto-suggestion, di mana sesuatu idea dan teori yang kita pegang dengan kuat dan kukuh, akan melekat dengan kuat di otak dan otak kita secara automatik akan mengeluarkan cadangan untuk kita mencapai matlamat yang ditetapkan. Setiap hari, peruntukkan 10 minit untuk berfikir dan membina keyakinan diri dengan konsep auto-suggestion.

4.  Tulis dengan jelas dan terang, apa matlamat hidup yang paling tinggi dan cara mencapainya. Berjanji pada diri, aku tidak akan berhenti sehingga aku capainya dan berjaya bina keyakinan diri yang dimahukan.

5. Aku tahu, bahawa tiada harta atau kedudukan yang mampu bertahan melainkan dibina di atas kejujuran dan keadilan; maka aku tidak akan terlibat dalam aktiviti yang tidak memberi kebaikan kepada orang lain. Aku akan berjaya dengan menarik kuasa atau tenaga yang aku mahu guna, dan juga kerjasama dari orang lain.

Aku berusaha untuk memikat orang lain supaya berkhidmat kepada aku, kerana kesanggupan aku untuk membantu mereka. Aku akan hapuskan kebencian, kecemburuan, kejahatan, individualistik, dan kedengkian dengan membina cinta dan harapan untuk semua. Aku mahu mereka percaya kepada diri aku, kerana aku percaya kepada mereka dan kepada diri sendiri.

 

Paling penting, sentiasa yakin dengan diri. Bukan sebab apa yang kita ada, tetapi kepercayaan kepada Tuhan yang esa dan perasaan tunduk hanya kepadaNya. Pelajari sifat Allah yang Maha Agung, nescaya mata tidak sirna dengan manusia lain. Kuatkan hati, insyaAllah jiwa juga kuat dan berseri. 🙂

 

Oh sweet memories

Oh sweet memories

Got something to say? Go for it!

 
%d bloggers like this: