Dicintai oleh Yang Tercinta

Malam menjengah. Azan maghbrib sayup berkumandang. Siang yang tadinya gagah bercahaya, kian malap dimamah sang bulan purnama. Honda Wave 125cc gagah membelah jalan raya, ligat menuju ke Bukit Rangin.

Aku tahu, di sana, aku cuma akan mendapat luka dan sengsara. Untuk berjumpa dengan insan yang tak bisa dipandang, tak bisa disentuh, tak bisa direnung dengan dua mata ini selagi hayat masih dikandung badan. Tapi aku gagahkan juga untuk pergi. Sekadar memenuhi sebuah janji.

Dalam kelajuan motor yang bagaikan ribut, kadang kadang aku mengelamun berseorangan. Kenapa aku tak pernah dicintai oleh orang yang aku cintai, dan tidak mencintai orang yang mengasihi diri aku?

Air mata, jangan turun lagi. Memang perit ujian sebuah takdir, tapi perit lagi hati jika kita tidak mampu untuk teruskan hidup.

Nak sahaja aku persalahkan semua yang berlaku, yang menyebabkan cinta berpatah arang dan keluarga berwajah masam. Aku rasa geram, kenapa semua berlaku bertimpa timpa. Usaha sudah dibuat, cinta sudah diberi, bahkan komitmen hidup semati juga telah aku ungkapkan. Tapi sayang, seribu kali sayang, takdir tidak menoktahkan kami untuk bersama.

Perlukah aku meratap, menangis, dan bersendu untuk membuktikan kegalauan jiwa? Aku rasa tidak. Hidup perlu diteruskan. Hidup ini mudah, ada ketika kita menolak, dan ada ketika kita pula yang ditolak. Aku telah rasa dua dua.

Aku pamerkan sekuntum senyuman paling palsu dalam hidup di hadapan manusia ni. Aku tak boleh alirkan air mata. Tak boleh emosional. Tak boleh jadi si lelaki malang yang menagis simpati orang. Hanya perlu tenang, senyum sepalsunya, berbicara sepantas kerdipan mata, dan bersikap manis dan ceria. Tu yang aku buat.

Aku tak pandang mukanya. Aku tahan mataku. Jika bukan milikku, aku haramkan mataku dari melihat. Jika tidak dapat mencintai, lenyaplah terus dari hati ini daripada tinggal dan menikam sukma hati. Sangat sakit, apabila kita tahu, dia akan berlalu pergi dan membina mahligai bersama putera kayangan entah dari mana. Yang dulu aku impikan bersama, kini terbang melayang ke angkasa.

Biarlah hidup mengajar kita dengan onak durinya. Kelak, kita juga yang menjadi semakin baik dan pandai. Walau perit terpaksa diharung, dan pahit terpaksa ditelan, tapi ini semua rencah untuk hati dan akal yang lebih beriman.

.

Cinta, aku masih mencari dan menunggu. Tak sanggup rasanya hati ini dilukai lagi. Aku tak mahu buah berbunga dua kali. Jujurnya, aku dah letih. Malas pun ada.

Tapi aku nak. Aku perlukan cinta. Aku perlukan hubungan yang baik. Aku perlukan seorang isteri. Aku mahu bina keluarga. Aku mahu timang cahaya mata. Aku mahu saham ke syurga.

Untuk yang memusnahkan impian dan harapan aku, tiada belas ihsan dan rasa kasihan dalam hati aku. Aku rasa cukup terhina dan terluka dengan apa yang berlaku. Sebakul emas tidak akan merawat jiwa yang pecah, tidak akan membaiki hati yang retak. Aku harap kita bertemu suatu hari nanti, dan aku dapat memberitahu betapa sakit dan luluhnya hati aku saat ini.

Tuhan, berikan aku kekuatan. Berikan aku kesabaran.

Got something to say? Go for it!

 
%d bloggers like this: